logo
 
 
   
 
 
 
 

news room
 
   
  From the Press Year 2009  
     
  grey Click here to view the original article  
     
 
Berita Harian
Rabu 25 November 2009
 
     
 

SHAH ALAM: Kerajaan negeri merancang menubuhkan dana khas untuk membaik pulih infrastruktur di Damansara sebagai langkah jangka panjang mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata sehubungan itu pemaju hartanah di kawasan terbabit diminta memberi kerjasama bagi mengatasi masalah berkenaan untuk faedah bersama.

Katanya, ia bukan saja tanggungjawab sosial yang baik, bahkan memudahkan perniagaan.

"Sekiranya lalu lintas tidak sesak, ia bukan saja menggembirakan penduduk, sebaliknya nilai hartanah pemaju akan menjadi lebih tinggi. Ia akan menguntungkan semua pihak," katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Rancangan itu adalah antara langkah sementara, jangka sederhana dan jangka panjang oleh kerajaan negeri berikutan bantahan penduduk terhadap penutupan Jalan Tanjung Bandar Utama, jalan sementara yang merentasi hartanah Perbadanan Bandar Utama (BUCC).

Langkah itu diambil selepas Abdul Khalid mengadakan pertemuan dengan BUCC dan pemaju Tropicana, Dijaya Corporation Berhad, Jumaat dan Ahad lalu, yang turut dihadiri Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Roslan Sakiman dan Pegawai Daerah, Datuk Zulkepli Ahmad.

Abdul Khalid berkata, pada perbincangan itu, semua pihak bersetuju agar Jalan Tanjung, Bandar Utama dibuka sehala untuk operasi selama dua minggu bagi memudahkan pengguna keluar dari Jalan Persiaran Tropicana ke Lebuh Bandar Utama.

Katanya langkah sementara itu dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pada masa sama kerajaan negeri akan membuat kajian kemungkinan melebarkan Jalan Tanjung, Bandar Utama menjadi empat lorong daripada dua lorong yang ada sekarang.

"Jika jalan empat lorong ini boleh dilaksanakan, kita akan bekerjasama dengan BUCC supaya Jalan Tanjung Bandar Utama dijadikan jalan orang awam yang kekal dan bukan lagi bertaraf sementara," katanya.