Berita Harian
Khamis 23 Julai 2009
Terowong kedua Tropicana dibuka minggu depan
PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi jamin terowong kedua di Jalan Tropicana Utama, Damansara, di sini, berharga RM6.6 juta mampu mengatasi masalah banjir walaupun kedudukannya lebih rendah berbanding terowong lama di sebelahnya.
Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman, berkata berdasarkan kepada pelan dan reka bentuk terowong itu, pihaknya berpendapat laluan baru itu mampu mengatasi masalah air bertakung atau banjir.
"Terowong kedua itu mempunyai sistem mencegah banjir menerusi pembinaan saluran dan longkang khas yang berfungsi menyuraikan aliran air bertakung di atas jalan jika hujan lebat," katanya kepada Berita Harian.
Terowong yang lebih dikenali sebagai `terowong kedua Tropicana’ itu kini sudah 100 peratus siap dan dijangka dibuka kepada lalu lintas terutama kenderaan ringan pada minggu depan atau akhir bulan ini.
Syarikat Majulia Sdn Bhd bertanggungjawab membina dan menyiapkan projek itu.
Pembinaannya tertangguh hampir dua tahun disebabkan pelbagai masalah teknikal terutama berhubung reka bentuk dan kaedah pembinaan.
Ia menyebabkan berlaku masalah kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan perumahan dekat Bukit Mayang Mas dan Jalan Tropicana berhampiran Tropicana Golf & Country Resort.
Terowong baru itu yang akan diserahkan kepada MBPJ tidak lama lagi dijangka dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang membelenggu kawasan perumahan terbabit sejak beberapa tahun lalu.
Persatuan Penduduk Tropicana (TRA) menjadi pihak utama yang membangkitkan masalah kesesakan lalu lintas di jalan itu dan mendesak pihak berkuasa membina terowong baru di situ,
Roslan berkata, MBPJ turut melantik syarikat perunding khas yang disyorkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi menjalankan kajian terperinci kedudukan terowong berkenaan supaya mampu mengatasi masalah banjir yang mungkin disebabkan limpahan air dari Lebuh Raya Lembah Klang Utara (NKVE)
Namun, katanya, sebarang masalah yang mungkin wujud selepas terowong berkenaan siap termasuk kemungkinan air bertakung di laluan itu akan cuba diatasi segera oleh MBPJ dan kontraktor.
Sementara itu, syarikat perunding kejuruteraan, Zaidun-Leeng Sdn Bhd yang bertanggungjawab dalam mereka bentuk terowong itu mengesahkan pembinaannya mampu mengatasi masalah banjir.
Jurutera syarikat terbabit, Anuar Mohd Aris, berkata pihaknya mengambil kira pelbagai aspek keselamatan dan kemampuan struktur binaan sebelum mereka bentuk pelan jalan di terowong berkenaan.
"Antara ciri penting terowong itu ialah ia direka untuk mengatasi masalah banjir kerana kedudukannya lebih rendah dengan terowong di sebelahnya," katanya ketika dihubungi.